Monday, December 14, 2015

Komen Haiza Apabila Dapat Tempat Ke 6 Gegar Vaganza


Komen Haiza Apabila Dapat Tempat Ke 6 Gegar Vaganza


Peserta akhir Gegar Vaganza, Haiza tidak melihat pemilihan lagu Puisi Cinta sebagai penyebab dia mendapat tempat tercorot dalam pertandingan itu.

Haiza sebaliknya berkata, kekalahan itu disebabkan persembahan kurang menyerlah mungkin kerana kelemahannya sendiri.

Ini komen Haiza:

"Pada saya lagu itu tidak salah sehingga menjadi penyebab persembahan saya gagal menyerlah tetapi kekurangan itu datang daripada diri sendiri.

"Jujur saya marah dengan diri sendiri tetapi saya sudah memberikan persembahan terbaik dan sudah tertulis rezeki saya di tempat terakhir," 

Haiza diminta mengulas kekalahannya dalam Gegar Vaganza 2 Ahad lalu yang dikatakan berpunca daripada pemilihan lagu yang lemah biarpun dia sering memberikan persembahan konsisten setiap minggu.

Untuk pengetahuan, lagu Puisi Cinta adalah nyanyian asal oleh Ayai bersama kumpulan Ilusi. Ayai merupakan juara Gegar Vaganza musim pertama.

Dalam pada itu, Haiza berkata, untuk peringkat akhir pertandingan itu, lagu Puisi Cinta adalah antara beberapa lagu dalam senarai pilihannya kerana ia membawa erti sepanjang bertanding dalam Gegar Vaganza.

Malah kata Haiza, dia teruja menyanyikan lagu itu memandangkan Ayai sering memberikan sokongan kepadanya sejak pertandingan bermula.

"Lagu berkenaan seperti penutup kepada semua kisah saya di Gegar Vaganza yang membawa banyak erti kepada saya dan ia juga tanda terima kasih kepada Abang Ayai yang sentiasa menyokong saya sejak minggu pertama pertandingan," 

Dalam perkembangan lain, Haiza berkata, karier seninya semakin berkembang sejak menyertai program berkenaan dan memberitahu jadual undangan nyanyiannya penuh sehingga penghujung Mac tahun hadapan.

Malah kata Haiza, menerusi pertandingan itu juga, masyarakat mula menyedari bahawa dia bukan sahaja seorang artis dangdut sebaliknya mampu membawa pelbagai genre muzik.

"Alhamdulillah, rezeki persembahan memang banyak malah jadual saya sudah pun penuh sehingga Mac tahun depan dan orang mula nampak bakat saya yang boleh membawa pelbagai genre lagu.

"Pun begitu ia tidak bererti saya akan tinggalkan muzik dangdut kerana genre itulah yang membawa saya ke tahap seperti hari ini,"

Setelah tamat GegarVaganza, Haiza berkata dia bakal muncul dengan single terbaharunya selain akan mengadakan persembahan jelajah di Sarawak.

Ditanya mengenai kariernya sebagai deejay Best.FM, Haiza tidak berhasrat untuk meninggalkan dunia penyiaran radio dan akan bekerja seperti biasa.

"Jika ditanya penat atau tidak, hanya Allah yang tahu kerana saya perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur untuk bersiaran di Johor Bahru tetapi saya tidak boleh merungut kerana ini adalah rezeki saya dan keluarga.

"Peluang diberikan hanya sekali dan saya tidak akan sia-siakan kepercayaan diberikan dan Insya-Allah jika pembahagian masa dibuat dengan baik tidak akan ada masalah,"

Sumber: mStar

0 comments:

Post a Comment