Mukhriz Mula Persoal Tindakan PM Najib


Mukhriz Mula Persoal Tindakan PM Najib


Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini dilihat mula menyasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu 1MDB.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mukhriz membangkitkan titah Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 7 Oktober tahun lalu, yang menyatakan kebimbangan mengenai dana pelaburan negara itu.

Ini kenyataan dari Mukhriz:

"Setelah empat bulan berlalu adakah kerajaan persekutuan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Majlis Raja-raja yang merupakan harapan terakhir bagi Rakyat memohon dan merayu perlindungan.

"Lebih-lebih lagi apabila kerajaan persekutuan, khususnya perdana menteri telah tidak diyakini Rakyat?,"

"Wajarkah titah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa apa-apa respon yang beradab dan munasabah?," 

Justeru itu, beliau memohon Majlis Raja-Raja yang akan bermesyuarat 17 dan 18 Februari ini mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara membentangkan laporan 1MDB secepat mungkin.

"Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campurtangan oleh pihak yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin,"

Katanya, soalan bermain di fikiran rakyat, termasuk Majlis Raja-raja adalah apakah yang terjadi kepada berbilion wang yang dipinjam daripada cagaran aset negara dan dibelanja oleh 1MDB atas kelulusan pengerusi panel penasihatnya iaitu perdana menteri sendiri.

"​Namun begitu, “jawapan” yang diberikan ialah bahawa dalam masa enam bulan lagi semua hutang-hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan saham anak-anak syarikat 1MDB dan aset.

"​Apabila soalan pokok tidak dijawab walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang diberikan (termasuk melalui cetakan buku-buku oleh pihak JASA) tersasar dari soalan pokok dan cuba mengelirukan rakyat dengan maklumat-maklumat yang tidak relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada fakta dan kebenaran yang hendak disembunyikan oleh Datuk Seri Najib," katanya.

Tambahnya, tahap keyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan integriti kerajaan yang diterajui Najib semakin terhakis apabila beberapa pihak berkuasa luar negara membuat kenyataan mengenai siasatan mereka ke atas beberapa transaksi mencurigakan melibatkan 1MDB.

"Ini termasuklah siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland terhadap kes penyelewengan dana yang membabitkan 1MDB," katanya.

0 comments:

Post a Comment