Ini Komen Peniaga Yang Tengking, Halau Zarina Zainuddin

 
Telah menjadi viral kisah pelakon Zarina Zainuddin dan anaknya ditengking dan dihalau oleh seorang peniaga buah-buahan di Lumut baru-baru ini.

Zarina Zainuddin membuat luahan hati tentang perkara berkenaan di laman Instgram miliknya dan terus menjadi perhatian ramai.

Susulan dari insiden pelakon berumur 48 tahun ini ditengking dan dihalau, seorang peniaga di Dataran Lumut telah tampil memberi respon balas.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Peniaga Lumut bernama Ishak Osman telah meminta maaf melalui laman Facebook Komuniti Seri Manjung FOC pada 3 Januari lepas.

Ini tulisnya:

"Dengan hati terbuka, saya ingin memohon maaf sekiranya pihak saya membuatkan segelintir netizen dan pelanggan dia tidak berpuas hati.

"Saya juga nak buat penjelasan kenapa perkara ini berlaku. Kami bertanggungjawab untuk memastikan semua peniaga di kawasan terbabit memiliki kebenaran berniaga daripada pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

"Tiada niat menghalau dan menengking, tetapi hanya jalankan tugas. Tiada niat nak menjatuhkan dia. Saya percaya rezeki daripada Allah. Kalau ada pihak yang tidak puas hati, boleh berjumpa dengan saya di Lumut. Saya ada setiap hari di sana.

"Saya percaya insiden ini sengaja diperbesarkan seolah-olah saya yang bersalah. Namun saya sebagai peniaga kecil yang turut berniaga, tidak berniat nak menutup periuk nasi dia.

"Saya memohon maaf sekali. Sebagai manusia saya juga tak lari daripada melakukan kesilapan.

Setelah peniaga itu membuat kenyataan terbabit, Zarina Zainuddin dikatakan telahpun memaafkan Ishak dan isterinya berhubung insiden itu.

Ini komen Zarina:

"Saya dah lama maafkan abang itu kerana tahu saya masuk tempat orang. Kebetulan saya balik kampung kerana ada kenduri sepupu dan membawa bersama pulut kuning yang ditempah. Dalam masa sama, saya sebenarnya hendak membeli ikan bilis di kawasan itu.

"Kebetulan pelanggan belum sampai, saya tumpang duduk sekejap. Tiba-tiba datang sepasang suami isteri yang berniaga buah, marah-marah suruh angkat pulut.

"Tapi ia sudah berlalu dan saya juga sudah maafkan mereka. Saya juga minta maaf kerana datang tanpa diundang ke tempat orang. Maafkan saya sekali lagi. Lain kali saya kena hati-hati.

Apapun semoga kejadian ini menjadi pengajaran buat semua. Kalau nak tegur pun, kena lah berbudi bahasa, tak gitu.

Sumber: BeautifulNara

0 comments:

Post a Comment