Faizal AF4 Terjebak Aktiviti Tidak Sihat, Kerjaya Seni Musnah Dan 2 Kali Bercerai


Faizal AF4 Terjebak Aktiviti Tidak Sihat, Kerjaya Seni Musnah Dan 2 Kali Bercerai 


Ini merupakan kisah benar tentang kehidupan bekas juara program realiti Akademi Fantasi (AF) musim keempat, Mohammad Faizal Ramly.

Penyanyi yang dikatakan "hilang" ini akhirnya tampil menceritakan perkara sebenar yang melanda dirinya setelah bergelar juara AF.

Faizal mengakui kegagalannya mengawal diri hingga terjebak dengan anasir negatif meragut kerjaya seni dan hampir memusnahkan hidupnya.

Populariti yang diraih membuatnya lupa bumi yang dipijak dan akhirnya terjebak dengan perbuatan sia-sia. Ketelanjurannya itu juga menyebabkan dua perkahwinannya menjadi korban.

Faizal yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2006 kini menyesal dan mengakui dirinya sudah berubah.

Faizal juga telah bernikah buat kali ketiga dengan Sahidatul Najiha memberikan harapan kepadanya untuk memulakan hidup baharu.

Ini komennya:

"Ia perkahwinan ketiga saya dan tidak dinafikan, pada permulaan isteri kerap menangis kerana perbuatan saya. Alhamdulillah, berkat doa dan kesungguhannya yang ingin melihat saya berubah, saya tidak lagi terbabit dengan gejala yang sia-sia. Saya tidak mahu melihatnya menderita lagi.

"Tanpa sokongannya dan rakan kongsi perniagaan, Linda Mohd Shariff, kehidupan saya mungkin masih terumbang-ambing. Mungkin saya tidak mewah, tetapi apa yang ada hari ini cukup untuk membahagikan isteri dan keluarga.

"Saya bersyukur isteri yang kini hamil tiga bulan menerima saya seadanya malah tidak pernah berputus asa untuk melihat saya kembali pulih," 

Faizal mengatakan dirinya terjerumus dalam gejala negatif dan najis kotor itu semuanya adalah benar belaka.

Ia bermula apabila dirinya terpengaruh dengan hasutan rakan-rakan untuk mencuba dan tanpa disangka, memberikan kesan buruk kepada kehidupannya. Disebabkan terlalu mengikut kata hati, dua perkahwinannya yang terdahulu gagal diselamatkan.

Menurut Faizal, perkahwinan pertamanya bertahan selama tiga tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Alia Damia, 7. Perkahwinan kedua pula musnah tidak sampai setahun.

Ini komennya lagi:

"Saya tidak menyalahkan bekas isteri kerana kegagalan itu berpunca daripada kesilapan sendiri. Ketika berdepan konflik rumah tangga, saya semakin hanyut kerana terlalu tertekan. Tidak mahu terus hidup begitu, saya nekad pulang ke kampung halaman, tiga tahun lalu.

"Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Cukup sudah saya melalui derita yang berpanjangan. Dulu, saya dikenali ramai tetapi kerana kesilapan sendiri, saya dihina dan dipandang sebelah mata.

Alhamdulillah, saya sudah pulih sepenuhnya dan ingin membuka buku baharu dalam kehidupan,"

Faizal kini kembali menetap di Kuala Lumpur, Faizal kini mengusahakan perniagaan bersama Linda dengan menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan, Beauty 18 menerusi syarikat, Care Synergy Sdn Bhd.

Dilancarkan beberapa bulan lalu, mereka memperkenalkan enam produk untuk penjagaan kesihatan dalaman dan luaran.

Ini komennya tentang perniagaan:

"Saya juga menjadi duta produk ini, malah terhutang budi dengan Linda yang memberi peluang kepada saya untuk terus bernafas dan mencari rezeki.

"Saya lebih bersemangat untuk bekerja selepas sihat dan pulih sepenuhnya. Saya juga merancang untuk menghasilkan single baharu yang berkisar mengenai kehidupan silam saya yang penuh kelam," 

Sumber : BH Online

0 comments:

Post a Comment