(TERKINI) Kenyataan Media Rasmi Dari Tan Sri Muhyiddin Yassin Setelah Digantung
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi telah digantung dari jawatan Timbalan Presiden UMNO dan diganti buat sementara oleh Zahid Hamidi.
Alasan yang diberi adalah dikatakan, Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden langsung tidak membantu Presiden iaitu Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.
Keputusan ini dibuat oleh Ahli Majils Tertinggi UMNO secara sebulat suara semalam demi meneruskan perjuangan UMNO.
Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan rasmi tentang perkara ini.
Jom baca:
KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan.
Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.
Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?
Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.
Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.
Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.
Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO.
Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden.
Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini. Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama parti.
Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan.
MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat.
Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!
Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.
MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri saya daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara.
Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya. Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.
Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.
Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka. Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya.
Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk menyatakan yang hak dan menentang yang batil? Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?
Barangkali sistem nilai dalam UMNO telah punah. Mereka yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak oleh rakyat.
Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup. Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.
Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib.
Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.
Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu.
Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan. Oleh kerana Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, maka sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh terlepas daripada pendakwaan jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan Peguam Negara.
Jika Peguam Negara bukan seorang yang berani, maka Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan kebal di sisi undang-undang. Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu yang adil malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.
Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.
Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya.
Kepada kedua-dua mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO terutamanya Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar saya ucapkan tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak gentar mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!
Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia. Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.
Allahu Akbar!
MUHYIDDIN YASSIN
27 Februari 2016
Allahu Akbar
ReplyDeleteNajib dan MT UMNO, kejam dari Yahudi
ReplyDelete