"Memang Menakutkan..Bangunan Bergoyang, Bergegar Sebelum Runtuh" - Saksi Jambatan MidValley Runtuh
Saksi runtuhan sebuah jambatan di Midvalley memberitahu kawasan tapak pembinaan itu secara tiba-tiba bergegar dan bergoyang sebelum struktur itu runtuh.
Atang (pekerja dari Vietnam) berkata keadaan itu menyebabkan pekerja bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Katanya ketika kejadian beliau dan beberapa rakan sekerja sedang membuat pemasangan cermin di bangunan itu.
Ini kenyataan saksi:
KOMEN ATANG
"Ia berlaku terlalu pantas dan memang menakutkan. Saya rasa bangunan ini bergoyang dan laluan pejalan kaki itu secara tiba-tiba terbalik dan satu persatu konkrit jatuh.
"Memang bunyi agak kuat, dan kami semua terkejut dan melarikan diri ke tempat selamat. Nasib baik ketika kejadian ramai pekerja tiada kerana mereka sedang berehat,"
Atang berkata, sejurus selepas kejadian, beliau nampak beberapa rakannya keluar dari timbunan runtuhan dan ada di antaranya cedera.
Sementara itu, seorang pekerja warga Bangladesh yang dikenali sebagai Abdullah berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi dentuman yang agak kuat.
KOMEN ABDULLAH
"Saya dan beberapa rakan lain pergi ke arah bunyi itu dan melihat rakan-rakan keluar dari runtuhan.
"Keadaan memang kelam kabut dan saya bernasib baik tidak berada di kawasan pembinaan itu kerana sedang berehat,"
Seorang lagi saksi Md Kawsar menceritakan dia terkejut melihat jejambat itu terjatuh dari tingkat dua dan menghempap rakan sekerjanya.
Rakannya itu dikatakan sedang berehat untuk makan tengah hari di bahagian bawah tapak pembinaan.
KOMEN KAWSAR
"Saya sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mereka kerana ketika itu saya berada jauh dari tempat kejadian,"
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata seorang pekerja kontrak warga Vietnam berumur 21 tahun maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu.
Mangsa yang cedera, terdiri daripada pekerja kontrak warga Bangladesh dan Vietnam, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedang mengesan seorang lagi mangsa warga Bangladesh yang dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan itu.
Ini menjadikan jumlah mangsa kepada tujuh orang berusia antara 21 hingga 32 tahun yang terdiri daripada pekerja warga Vietnam, Bangladesh dan Indonesia. – Bernama
0 comments:
Post a Comment