JAKIM Mahu Jumpa Setelah Terima Aduan, Ini Respon Sajat

 
Baru-baru ini, ada pihak yang membuat aduan kepada pihak JAKIM tentang kewujudan individu bernama Sajat yang mengelirukan orang ramai tentang statusnya.

Antara yang lantang dalam isu ini dan telah membuat laporan kepada pihak JAKIM ialah individu bernama Sir Azri.

Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman sedia berjumpa dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu berkaitan dirinya hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun Nur Sajat menjelaskan bahawa beliau hanya bersetuju mengadakan pertemuan itu sekiranya ia dilakukan secara berhemah demi kebaikan bersama.

Ini respon Sajat:

"Setakat ini, Sajat tidak mendapat sebarang maklumat daripada P.A (pembantu peribadi) berhubung pertemuan berkenaan. Kalau orang nak cari Sajat, ada je kat Wisma Nur Sajat ni.

"Sepatutnya kalau pihak Jakim nak jumpa Sajat, dia boleh terus berhubung dengan Sajat sendiri atau dengan P.A (pembantu peribadi), bukannya dengan mesej terbuka macam tu"

Sajat menegaskan bahawa selama ini dia tidak mengambil peduli terhadap kecaman netizen mahupun masyarakat terhadap dirinya.

Tentang pelbagai isu termasuk mengaitkan dirinya dengan kekeliruan identiti, Sajat berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu sekadar mencemburui dirinya yang semakin berjaya dalam bidang perniagaan.

Namun Sajat menjelaskan bahawa beliau di pihak yang benar, maka tiada perkara yang perlu dibimbangi berhubung pertemuan dengan Jakim.

Ini komen Sajat lagi:

"Saya sedia berjumpa dengan Jakim tapi biarlah ia dibuat secara berhemah. Kalau elok antara kedua-dua pihak, kenapa tidak?

"Kita boleh berjumpa, tak ada masalah pun. Sajat tahu di pihak yang benar, bukannya buat kerja-kerja yang tidak elok"

Semalam, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan  Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, JAKIM, Dr Izwan Yusof menerusi satu ‘mesej terbuka’ di laman sosial Facebook menyuarakan hasratnya untuk bertemu dengan Sajat.

Pada masa sama, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha menerusi Twitternya turut menyatakan persetujuan berhubung hasrat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan bersama Sajat.

Menerusi ‘mesej terbuka’ itu, Dr Izwan berhajat untuk berjumpa Sajat memandangkan isu yang  timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.

Ini tulis Dr Izwan:

"Kami menjemput Sajat untuk hadir ke Jakim supaya kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat.

"Atau kami sedia berjumpa dengan Sajat di mana-mana sahaja yang dirasakan selesa. Kami sedia dihubungi 24/7"

"Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap Sajat.

"Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam"


Berkenaan hal-hal membabitkan Sajat di media sosial, Izwan  berkata, pihaknya mengambil sikap berkecuali kerana mereka perlu mengetahui masalah sebenar yang dihadapi.

Sumber: mStar

0 comments:

Post a Comment